SEREMBAN: Dentuman kuat tembakan pistol Glock 19 menggegarkan Lapang Sasar Mantin di sini, pagi tadi, apabila lebih 100 pengamal media menunjukkan kemahiran masing-masing mengendalikan senjata api.
Semua mereka adalah peserta khas dijemput menyertai aktiviti menembak Hari Bersama Media anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengamal media diberi peluang menggunakan pistol Glock 19 semi automatik membabitkan tiga acara iaitu tembakan ‘precision’ individu dan berkumpulan, tembakan jatuhan piring dan ‘bullseye’.
Program diadakan bagi mengeratkan hubungan serta menghargai peranan pengamal media mengenengahkan peranan Maritim Malaysia kepada masyarakat.
Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Datuk Hamid Mohd Amin.
Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Muda Datuk Mohd Rosli Abdullah; Pengarah Risikan Maritim Laksamana Pertama Mohd Zawawi Abdullah; Pengarah Bahagian Carilamat Bantuan Bencana Laksamana Pertama Hamizam Harun; Pengarah Bahagian Operasi Udara Laksamana Pertama Syed Islam Shahajan dan Komandan Pasukan Tindakan Khas (Star Team) Kepten Syuzefril Mat Noor.
Menerusi aktiviti ini, pengamal media diraikan menerusi aktiviti tahunan agensi penguatkuasa itu selain bertukar pandangan.
Pasukan Rangkaian TV Media Prima diketuai Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Kamaruddin Mape.
Pelbagai hadiah termasuk cabutan bertuah turut disediakan kepada pengamal media.