KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kebajikan dan keselamatan seluruh warga institusi pendidikan dalam melakukan persiapan awal mendepani banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku lebih awal kali ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Ruji Ubi, berkata kesiapsiagaan membabitkan pelbagai aspek termasuk mewujudkan kefahaman impak bencana itu dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.
Ia sekaligus membantu mengurangkan risiko kerugian dihadapi membabitkan nyawa dan harta benda.
“Kesedaran dan pembabitan komuniti ini menjadi optik utama keberkesanan pengurusan serta pengurangan risiko bencana.
“Sebagai contoh, jika bencana berlaku dalam sekolah, sudah tentu warga sekolah iaitu guru, murid, pengawal keselamatan dan pekerja kebersihan kantin perlu mempunyai pengetahuan serta kemahiran menangani situasi berlaku bagi mengurangkan risiko kejadian akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda di sini.
Ruji berkata, kesejahteraan pendidikan bukan saja dilihat dari aspek penyediaan prasarana, kemudahan akses mahupun sokongan digitalisasi, tetapi juga perlu disokong dengan sikap cakna terhadap sesuatu faktor semasa yang mempengaruhi persekitaran pendidikan itu sendiri.
Justeru, beliau berkata, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dilancarkan pada 3 Oktober lalu berupaya menjadi paksi dan petunjuk kepada pengurusan risiko bencana yang mampan melalui teras strategi serta sasaran digariskan.
“Pengurangan Risiko Bencana (DRR) ini adalah satu intervensi bagi memastikan warga institusi pendidikan khususnya murid sentiasa bersedia menghadapi bencana. Murid diberikan pendedahan komprehensif berhubung langkah menghadapi bencana, bagaimana melindungi diri dan ketika berlaku bencana,” katanya.
Jelasnya, semua warga sekolah juga perlu bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan pusat pemindahan sementara
(PPS). – BERNAMA
kuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.