Oleh: Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika sedang bekerja di Jeti Parit Botak, Senggarang, dekat sini, tengah malam tadi.
Identiti mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu belum dikenal pasti.
Mayat ditemui orang awam berhampiran Parit Jabar selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejak dua hari lalu.
Menurut kenyataan pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 6.57 petang pada 6 Oktober lalu.
Sepasukan sembilan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Rengit diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khairul Azmi Ngatman telah dikejarkan ke lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan. pada jam 8 pagi pada 7 Oktober dibahagikan kepada tiga sektor. Sektor pertama dikendalikan pasukan bomba menggunakan bot untuk mencari sekitar muara sungai sejauh dua kilometer dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh.
“Sektor kedua diuruskan oleh pihak Polis, manakala sektor ketiga oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” jelasnya.
Operasi berkenaan ditangguhkan kira-kira jam 6 petang hari yang sama atas faktor keselamatan dan disambung semula keesokan hari.
Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.