SHAH ALAM: Seorang warga emas yang memandu sendirian dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa, Klang dekat sini, petang Ahad lalu.
Dalam video yang tular di media sosial kelihatan kereta dipandu lelaki berumur 73 tahun secara tiba-tiba melanggar premis yang juga sebuah pasar raya.
Video itu turut memaparkan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada lantai di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata sehingga kini hanya warga emas itu yang hadir membuat laporan kemalangan.
“Pihak pengurusan pasar raya berkenaan juga sudah dimaklumkan untuk hadir membuat laporan kemalangan.
“Bagaimanapun, mangsa (pejalan kaki) disyaki seorang perempuan dipercayai terbabit dalam kemalangan itu masih belum hadir membuat laporan.
“Polis sedang mengesan mangsa perempuan itu bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.
“Dalam kejadian itu, kenderaan dipandu warga emas itu terbabas ketika melalui Jalan Dato Yusuf Shahbudin 30 sebelum melanggar bangunan pasar raya berkenaan.
“Kemalangan itu mengakibatkan kerosakan kereta warga emas itu, sebuah motosikal yang diparkir serta bangunan premis.
“Bagaimanapun, warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.