SELAYANG: Wanita warga emas ditemui selamat selepas tergelincir dalam gaung sedalam 12 meter di belakang rumahnya di Bandar Baru selayang 2, Kawasan Kuari, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.21 pagi dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.
Menurutnya, kejadian membabitkan mangsa, Bainah Long, 79, yang hilang selepas bangun tidur.
Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung itu.
“Mangsa disedari hilang pada 1 pagi dan gagal ditemui oleh keluarganya sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
“Pihak bomba kemudian mencari di kawasan gaung di belakang rumahnya dan menemui mangsa pada 3.40 pagi dalam keadaan terbaring namun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan selanjutnya.