Tumpuan :
Nasional

Warga emas rugi RM136,000 selepas tekan pautan dalam FB

Foto hiasan

SIBU: Seorang lelaki warga emas di sini kerugian RM136,000 akibat terperdaya dengan penipuan perniagaan dalam talian sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata mangsa berusia 60-an dan tidak bekerja itu terjerat selepas menekan pautan dalam laman Facebook (FB) pada 9 Oktober lalu yang membawa ke satu platform e-dagang menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Mangsa ditawarkan peluang perniagaan menjual barangan kosmetik berjenama secara eksklusif dalam talian, dengan syarat memberikan modal terlebih dahulu untuk meraih keuntungan.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan kemudian diminta memuat turun satu aplikasi untuk pengesahan jualan serta penambahan modal bagi stok barangan jualan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru dari 13 Oktober hingga 7 November lalu, beliau berkata, mangsa telah melakukan 32 transaksi pemindahan wang ke dalam 11 akaun bank tempatan atas arahan suspek kononnya untuk menambah stok barangan.

Pada 10 November lalu, mangsa diberitahu bahawa aplikasi itu telah dibekukan dan diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM70,000.

“Berasa curiga dan sedar telah ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam,” katanya sambil memaklumkan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini