comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas rentung, rumah terbakar

FOTO JBPM SABAH

Oleh: Safwan Sawi 

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Babagon, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata kejadian berlaku 9.00 pagi.

Hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa ditemui dalam keadaan rentung di dalam sebuah rumah dan tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

“Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)

“Punca kebakaran masih disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang turut berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

FOTO JBPM SABAH

Sementara itu Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa dikenali sebagai Liew Ah Ngou.

Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.07 pagi.

Sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian sejauh 11.3 kilometer menggunakan sebuah jentera.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20×30 kaki persegi yang musnah 95 peratus.

“Semasa Pasukan Bomba menghadiri kes kebakaran rumah tersebut, tiada laluan untuk jentera bomba masuk ke lokasi.

“Pasukan Bomba bergegas dengan berjalan kaki melalui Jambatan Gantung bagi menyeberangi sungai untuk sampai ke lokasi kebakaran.” kata kenyataan itu hari ini.

FOTO JBPM SABAH

Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai tinggal bersendirian dan mengalami masalah kesihatan akibat serangan angin ahmar.

Operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 400 kaki, dua pancutan dan sumber air dari tangki jentera bomba.

Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi terkawal pada jam 10.10 pagi dan ditamatkan pada jam 11:30 pagi selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud.

Loading...
Terkini