SIBU: Seorang warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 146 kilometer dari sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa yang dipercayai sedang tidur dalam biliknya dan terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada jam 12.05 tengah malam itu dikenali sebagai Hamdi Suhai, 75.
Menurut beliau, lima lagi ahli keluarga mangsa yang lain bagaimanapun dapat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Sejurus menerima makluman berhubung insiden kebakaran yang melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal itu, tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pergi ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan,” ujarmya.
Sampai di lokasi jelasnya, pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran yang berlaku yang mana api dikawal pada jam 1.15 pagi.
Menurut Muhamad, maklumat awal yang diperoleh mendapati pada sekitar jam 12.05 tengah malam, pengadu yang merupakan jiran mereka telah melihat kabel elektrik sedang terbakar di bahagian belakang rumah.
“Sejurus itu, jiran mangsa masuk ke dalam rumah dan berteriak lalu mengarahkan semua ahli keluarga berkenaan keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri,” jelas beliau.
Menurut Muhamad, pengadu kemudiannya bertindak menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan memadam kebakaran yang berlaku.
Sejurus api dapat dikawal, pasukan polis katanya bertindak menjalankan siasatan ke atas tapak kebakaran dan menemukan mayat yang gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Mukah untuk bedah siasat.
Kes ini ujarnya diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).