PARIT: Dua lelaki maut akibat motosikal yang ditunggangi mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 19 Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, jam 7 petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kemalangan itu melibatkan warga emas berumur 64 tahun menunggang motosikal jenis Honda Dash dari arah Tanjung Belanja hendak pulang ke rumahnya di Kampung Tua, di sini dengan seorang remaja berumur 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati setibanya di lokasi kejadian iaitu simpang rumah, penunggang motosikal jenis Honda Dash tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang bergerak lurus tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal warga emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Changkat Melintang pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.