TUARAN: Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pertanian, Kampung Tagas, malam tadi.
Mangsa dikenali Agus Ebah, 72 tahun, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemukan dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba sebaik kebakaran dapat dikawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam berhubung seorang mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.
Seramai 14 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi, berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan bomba bertindak memadamkan api sehingga ia berjaya dikawal dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung pada jam 11.57 malam,” katanya.
Kebakaran terbabit memusnahkan 100 peratus struktur rumah jenis separuh kekal terbabit.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.