comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas, OKU dipindahkan akibat banjir kilat di Batu Kurau

Oleh: Kumaran Rajamoney

TAIPING: Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di Kampung Siam, Ijok dekat Batu Kurau di sini petang tadi, membawa kepada pemindahan lima mangsa dari dua buah keluarga.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan penyelamat (JBPM) negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.33 petang.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau yang tiba di lokasi kemudiannya melakukan kerja menyelamat terhadap kesemua mangsa itu.

Mangsa melibatkan pasangan suami isteri lingkungan usia 40-an, sepasang warga emas dan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU).

Kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih menggunakan pengangkutan darat.

Keadaan banjir telah surut dan operasi ditamatkan pada jam 8.44 malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini