Oleh: Selwam Arjunan
SUNGAI PETANI: Seorang warga emas nyaris maut apabila tersepit dalam kereta akibat dilanggar dalam kemalangan jalan raya, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, beliau yang cedera parah dapat diselamatkan dan dihantar untuk menerima rawatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani pada jam 2.20 petang dan jentera pertama sampai di lokasi tujuh minit kemudian.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kemalangan jalanraya melibatkan sebuah kereta iaitu Proton Wira dan sebuah bas.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kereta berkenaan akibat kemalangan.
“Tindakan anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan mengunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mangsa berusia 61 tahun dibawa ke Hospital Sungai Petani untuk diberikan rawatan.
Operasi tamat pada jam 5.05 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.