KUALA LUMPUR: Lelaki warga emas cedera selepas kereta dipandunya merempuh dinding tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 2.45 petang itu, mangsa berusia 78 tahun dikatakan tertekan pedal minyak kereta Proton Saga dipandunya lalu melanggar dinding parkir di tingkat 3A bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kejadian dipercayai berpunca kerana lelaki itu tersalah menekan pedal minyak ketika hendak meletakkan kenderaannya.
“Ketika kejadian warga emas itu seorang diri dan mengalami kecederaan ringan serta sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kenderaan mangsa mengalami kerosakan dan struktur dinding parkir juga pecah akibat hentaman kuat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, kawasan berkenaan juga ditutup untuk kerja pembaikan oleh pihak pengurusan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.