comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, motosikal dilanggar treler

FOTO: Ihsan PDRM

BALING: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Simpang Tiga Jerai, Jalan Baru Kulim-Baling-Grik, di sini tengah malam tadi.

Mangsa maut Hassim Ahmad, 68, dari Kampung Padang Lengkuas, Kupang.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian jam 12.10 tengah malam.

Hasil siasatan awal di tempat kejadian pihaknya mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 50 tahun bersama kelindan berusia 28 tahun itu dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Seberang Perai, Pulau Pinang untuk mengambil muatan.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa pula dari arah Kampung Iboi menghala pulang ke rumahnya di Kuala Kuang, dekat sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba motosikal terbabit dipercayai keluar dari simpang di sebelah kiri untuk ke kanan jalan secara mengejut menyebabkan pemandu treler tidak sempat mengelak lalu melanggar di bahagian hadapan sebelah kanan motosikal berkenaan.

“Akibat daripada itu, penunggang motosikal terbabit yang melekat di bahagian bumper hadapan treler itu kemudian diseret di hadapan laluan kenderaan berat itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, akibat  kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim.

“Pemandu treler dan kelindan terbabit yang beralamat di Kota Bharu, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini