Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, lori pasir dipandu terbabas

Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori. – Foto NSTP

KOTA MARUDU: Seorang warga emas maut selepas tersepit dalam lori dipandunya selepas terbabas di Kampung Mengaris di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba tidak lama kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.49 pagi.

Beliau berkata, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir terbabas sendiri di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Hydraulic Jack),” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini