Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut kereta bertembung, terbalik

Nissan Almera terbalik dan pemandunya seorang warga emas berusia 78 tahun maut selepas dirempuh Toyota Vios di Kilometer 56.5, Jalan Batu Pahat – Mersing di Kluang Johor. – FOTO: Ihsan polis

MERSING: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan, di Kilometer 56.5 Jalan Batu Pahat – Mersing, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Lau Yuen Heng, 78, yang memandu kereta Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala apabila kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang guru, Mohamad Hafiz Muhamad, 34.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika warga emas berkenaan dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Taman Megah, manakala Mohamad Hafiz dari Batu 3 ke bandar Kluang.

Ketika sampai di lokasi kejadian, warga emas berkenaan dikatakan secara tiba-tiba memasuki simpang kanan menghala ke Taman Megah.

Mohamad Hafiz yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri kereta mangsa.

Akibat perlanggaran itu, kereta warga emas berkenaan terbalik dan menyebabkannya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Hafiz pula cedera ringan pada bahagian badan dan masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Jurucakap polis daerah Mersing mengesahkan kejadian.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini