comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Warga emas maut, kenderaan jatuh gaung 

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang penumpang maut, manakala pemandu pikap cedera selepas kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 30 meter di Bukit Kopungit Vantage Point, Jalan Bukit Perwira di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Bianus Asai, 67, yang duduk di bahagian sebelah pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Pemandu, Genol Lopidi, 66, cedera dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Pikap dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai mengundur lalu terbabas dan jatuh ke dalam gaung berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, terdapat seorang mangsa tersepit, manakala seorang lagi tercampak keluar.

FOTO: NSTP

Katanya, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa kemudian dihantar ke HQE I menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Seorang lagi mangsa yang tercampak keluar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat membabitkan sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Azlee Abdullah.

“Operasi ditamatkan jam 12.21 tengah malam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini