Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, kenderaan hilang kawalan sebelum rempuh lori

Oleh: Zahir Senapiah

TANGKAK: Polis mengesahkan kemalangan maut membabitkan seorang warga emas di Kilometer 171 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam, berpunca daripada kenderaan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan itu maut di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim, di talian 011-12445836 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, dalam satu kenyataan, memaklumkan kejadian berlaku jam 4.02 petang semalam.

Ketika kemalangan, mangsa berusia 75 tahun memandu kereta berkenaan yang terbabas lalu terbalik, menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

Dua buah kenderaan bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati mangsa tersepit dalam kenderaan. Anggota menggunakan peralatan khas Rescue Tools untuk mengeluarkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini