Oleh: Kadir Edison
SIBURAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam parit berdekatan Batu 18, Jalan Kuching-Serian di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa Lai Sze Ho, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.10 pagi lalu mengarahkan enam anggota bersama satu jentera ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran mengeluarkan mangsa berikutan paras air pada paras pinggang dan sukar untuk mendapatkan ‘anchor stand’ pada ram kenderaan itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu kenderaannya menggunakan peralatan penyelamatan khas.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.