comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, isteri cedera diserang gajah 

 

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera diserang seekor gajah dalam kejadian di sebuah kebun ubi di Kampung Perpaduan, Skim Begahak, di sini, malam semalam.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu, Silvester Saimin berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pasangan suami isteri  dikenali sebagai Lopis Jubin, 90, dan isterinya, Dalama Hamid, 61, berada di dalam sebuah pondok untuk menjaga kebun ubi mereka.

Sekumpulan 12 ekor gajah kemudian memasuki kebun mereka untuk mencari makanan.

Menurut cucu mangsa, Fazrina, sebaik menyedari kehadiran haiwan berkenaan, pasangan suami isteri itu keluar daripada pondok dan cuba melarikan diri.

Namun, seekor gajah telah mengejar mangsa sebelum menyerang pasangan suami isteri itu dengan menendang dan memijak mereka.

Lopis disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di dada, mata dan tangan.

Manakala, Dalama mengalami patah pinggang selain cedera di paha kiri dan lebam di kedua-dua tangan.

Mayat Lopis dibawa ke Hospital Lahad Datu.

Isterinya kini menerima rawatan di hospital sama.

Menurut Silvester, pemeriksaan di tempat kejadian menemukan  bekas tapak kaki gajah, pokok ubi yang patah serta bekas geseran pada pondok  mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.

Mengulas insiden ancaman gajah ke atas manusia di Sabah, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata terdapat jawatankuasa di peringkat daerah untuk mencari kaedah terbaik untuk melindungi ladang dan manusia daripada diserang gajah.

“Di peringkat daerah, misalnya daerah Lahad Datu, Kinabatangan, di Tawau, memang ada jawatankuasa, ada yang dipengerusikan oleh pegawai daerah dan ada yang dipengerusikan oleh pegawai Hidupan Liar sendiri. Kita mendapat kerjasama juga daripada pihak ladang untuk melindungi gajah.

”Justeru, kita ada kumpulan di lapangan untuk cuba membantu mengiring gajah daripada ladang masuk kembali ke hutan,” katanya.

Loading...
Terkini