KOTA KINABALU: Seorang warga emas maut dirempuh kereta ketika mangsa melintas Jalan UMS, berhampiran Jejambat Kampung Rampayan di sini, pagi tadi.
Dalam nahas jam 11 pagi itu, Enok Juddin, 72, dari Kampung Delima, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Isteri mangsa, Jubairah Muin, 50-an, berkata sebelum kejadian suaminya memberitahu mahu ke pusat bandar raya bagi membaiki jam tangannya yang rosak.
“Ketika dia (suami) memberitahu mahu keluar ke pusat bandar, saya mengatakan supaya jangan keluar rumah.
“Tetapi suami memberitahu hendak membaiki jam tangannya yang sudah rosak dan selepas itu dia terus bergerak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jubairah berkata, sejam kemudian dia dimaklumkan oleh jiran yang suaminya terbabit kemalangan tidak jauh dari rumah mereka.
“Saya kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat keadaan suami sudah tidak bernyawa dengan tubuhnya ditutupi kain.
“Suami tidak menunjukkan sebarang petanda ganjil kecuali menunjukkan isyarat jam tangannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati pejalan kaki yang datang dari arah kanan pembahagi jalan, secara tiba-tiba melintas laluan tanpa memerhatikan kenderaan bergerak lurus sebelum dia dilanggar Perodua Viva dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an yang datang dari arah Indah Permai ke Kota Kinabalu.
“Jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva terbabit tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar pejalan kaki.
“Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.