Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut dilanggar bas ekspres

Foto ihsan PDRM Beluran

Oleh : Safwan Sawi

BELURAN: Seorang wanita warga emas maut dilanggar bas ekspres ketika melintas jalan di Kampung Bauto, Jalan Telupid-Ranau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 78 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telupid.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika bas ekspres bersama 26 penumpang  dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Sandakan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, warga emas terbabit dipercayai tiba-tiba berjalan melintas jalan dari arah kiri ke kanan.

“Pemandu bas ekspres tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa terbabit hingga menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah di  kepala  dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 petang.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” katanya.

Loading...
Terkini