Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut dengan kesan lebam seluruh badan dipercayai dipijak gajah liar

KUALA BERANG: Warga emas yang ditemui maut dengan kesan lebam pada seluruh badan dan hidung berdarah di Kampung Basung di sini, pagi tadi, didapati cedera di bahagian dada, kepala serta tangan kerana tekanan objek berat dipercayai akibat dipijak gajah liar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, Musa Ahmad, 65, oleh Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan polis pada jam 9.32 malam tadi berhubung kehilangan mangsa selepas lelaki itu keluar rumah pada sebelah pagi untuk ke kebunnya.

“Semalam, keluarga mangsa bersama penduduk kampung turut berusaha mencari mangsa di kebun tetapi gagal menemuinya.

“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) itu diteruskan semula kira-kira jam 7 pagi tadi dengan membabitkan pelbagai agensi serta penduduk kampung.

“Sekitar jam 7.15 pagi, mangsa ditemui meninggal dunia di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak kira-kira 100 meter dari kebunnya,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), selain polis menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) atau polis dengan segera untuk tindak lanjut sekiranya menyedari kehadiran binatang liar di kawasan penempatan serta kebun.

Minggu lalu, media melaporkan Musa menyatakan kebimbangannya berhubung kehadiran gajah liar yang didakwa merosakkan tanaman berhampiran rumah beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini