comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, 4 cedera, dua kenderaan bertembung

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan. – FOTO: IPD Alor Gajah

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas maut manakala empat cedera termasuk cicitnya dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, dekat sini, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam ketika mangsa, Timah Abu, 82, sekeluarga sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Redan dengan menaiki Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 12.50 tengah malam membabitkan Perodua Axia dan Proton Wira.

Hasil siasatan katanya, mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki dari arah Kampung Ramuan China Besar hilang kawalan ketika melalui selekoh tempat kejadian lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa bersama menantu, Noordin Mohamed Sali, 50, yang memandu kereta, anaknya, Saadiah Mohd Yasin,46, dan cicitnya, Muhammad Megat Iskandar Muhammad Zulkalnain berusia enam tahun, cedera dan dirawat di zon kuning, Hospital Alor Gajah (HAG).

“Kira-kira jam 4 pagi, pihak hospital memaklumkan wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

“Pemandu Perodua Axia yang juga bilal Masjid Ramuan China Besar berusia 59 tahun turut cedera dan dirawat di zon merah hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal kemalangan berpunca akibat kegagalan mengawal kenderaan.

Namun, siasatan lajut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini