comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas mati depan pasaraya, polis klasifikasi bunuh tanpa niat

Foto hiasan

IPOH: Polis mengkasifikasi semula kes pembunuhan dengan niat terhadap warga emas yang ditemui mati dibunuh di hadapan pintu sebuah pasaraya di Klebang, di sini, Jumaat lalu kepada membunuh tanpa niat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kes itu yang mulanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat, ditukar kepada Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Kata Abang Zainal Abidin, penukaran seksyen siasatan bagi kesalahan itu adalah berdasarkan kepada serangan fizikal yang dilakukan suspek semasa kejadian, dalam pada mangsa berusia 64 tahun meninggal dunia diakui mempunyai rekod penyakit jantung.

Katanya, punca kematian mangsa berdasarkan hasil bedah siasat bagaimanapun tidak boleh dikaitkan dengan serangan jantung, memandangkan diketahui berdasarkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bahawa berlaku serangan fizikal suspek terhadap si mati.

“Punca kematian ini, kita tak boleh hendak ‘relate’ (hubungkan) dengan serangan jantung, tetapi yang kita tumpukan di sini ialah serangan fizikal terhadap si mati. Hasil bedah siasat dari segi terma perubatannya memang punca kematian mangsa tidak dapat diterminologikan.

“Jadi untuk pembuktian, kita kena pergi (tukar) siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. Kita (polis) cuma boleh buktikan kepada mahkamah bahawa adanya kontak fizikal antara suspek dan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sidang Media berkenaan Pertukaran Bangunan Cawangan Penguatkuasaan dan Kawalan Lalu Lintas Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dari Jalan Chamberlain Hulu ke lokasi baharu di Jalan Padang Tembak Ipoh, di sini hari ini.

Seorang wanita berumur 24 tahun ditahan pada hari kejadian dan polis kini giat memburu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai suspek kedua.

“Ada tiga lokasi yang polis sudah pergi buat intipan dan serbuan namun belum lagi berjaya mengesan suspek kedua. Suspek pertama dikatakan memukul mangsa dengan cara menampar manakala suspek kedua memukul bahagian belakang kepala mangsa yang ketika itu sedang memakai topi keledar.

“Hubungan pertalian antara suspek kedua dengan suspek pertama iaitu wanita yang sudah ditahan juga masih belum dapat disahkan, memandangkan suspek wanita masih belum memberi kerjasama sepenuhnya.

“Bagaimanapun setakat ini maklumat yang kita perolehi daripada suspek wanita itu adalah suspek lelaki berkenaan baharu dikenalinya dua hari sebelum kejadian,” katanya.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dengan suspek apabila mangsa dikatakan sering mengganggu suspek wanita untuk dipikat.

Terdahulu, dilaporkan mayat warga emas itu ditemui dalam keadaan terbaring namun tiada sebarang kesan kecederaan ditemukan pada tubuh badan si mati.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini