Tumpuan :
Nasional

Warga emas mangsa ragut meninggal dunia akibat pneumonia – Polis

KUALA LUMPUR: Punca kematian seorang wanita warga emas baru-baru ini selepas dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam insiden ragut di Bangsar, 7 Oktober tahun lalu, disahkan akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, ketika mengesahkan perkara itu berkata, perkembangan terbaharu berkenaan sudah dimaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kita telah merujuk semula kes itu kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.

“Dalam pada itu, kita juga sudah merakam percakapan dua individu membabitkan pegawai perubatan yang merawat mangsa serta petugas sebuah pusat penjagaan swasta.

“Setakat ini, punca kematian mangsa yang kita peroleh ialah pneumonia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, pihak polis sedang menunggu arahan lanjut daripada TPR berhubung tindakan lanjut sama ada akan menukar klasifikasi kes kepada bunuh atau sebaliknya.

Sebelum ini, wanita warga emas yang parah akibat tersembam di jalan raya dalam insiden ragut oleh seorang penunggang motosikal di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini, 7 Oktober tahun lalu, dilaporkan meninggal dunia.

Mangsa, Lim Foong Mei, 78, sebelum ini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami pendarahan serius pada kepala akibat kejadian itu.

Berita kematian mangsa dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Park, Nitesh Malani dan mendiang dikatakan ditempatkan di sebuah rumah penjagaan dan sedang dalam proses pemulihan sebelum meninggal dunia.

Sebelum ini, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang menunjukkan mangsa sedang berjalan sendirian berhampiran kawasan perumahan.

Berdasarkan rakaman video berdurasi dua minit 45 saat itu, seorang lelaki menunggang motosikal dilihat tiba-tiba menghampiri dari belakang dan meragut beg dibawa mangsa menyebabkan warga emas berkenaan tersembam di atas jalan raya.

Mangsa dilihat terus tertiarap seketika sebelum bangun perlahan-lahan dan duduk.

Kejadian hanya disedari beberapa orang awam selepas lebih dua minit mangsa duduk dalam keadaan kepalanya berdarah.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa sedang berjalan seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar, yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini