Tumpuan :
Nasional

Warga emas lemas dalam tali air

Foto hiasan

PASIR MAS: Seorang wanita warga emas yang mempunyai penyakit nyanyuk dan rabun ditemui lemas di dalam tali air berdekatan kediamannya di Kampung Bechah Palas 4, Bunut Susu, di sini, jam 9.28 malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Minah Awang Hamat, 88.

Menurut anaknya, Norazilah Mamat, 57, kali terakhir dia berbual dengan ibunya petang semalam memandangkan rumah mereka hanya bersebelahan sahaja, selain mangsa setiap hari akan bermalam di rumahnya.

Katanya, sekitar jam 6 petang, dia ke rumah ibunya untuk mengajak bermalam di rumahnya tetapi tidak ditemui sebelum mereka sekeluarga mencari di sekeliling rumah dan kampung.

“Saya juga turut bertanya pada kakak yang juga tinggal berdekatan namun terkejut apabila dia memaklumkan bahawa ibu juga tiada di rumahnya. Saya mula resah sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

“Sebaik misi pencarian dilakukan, ibu ditemui lemas oleh suami saya sendiri di pintu air di dalam parit yang berjarak hanya 100 meter dari rumah.

“Luluh hati saya melihat sekujur tubuh ibu dibawa naik sebelum dan disahkan meninggal dunia.

“Sebenarnya, kami sekeluarga sudah beberapa kali meninjau kawasan tali air di hadapan rumah namun tidak mengesan sebarang petanda kerana paras air agak tinggi berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Norazilah berkata, jenazah ibunya itu akan dikebumikan selepas waktu Zuhur di Tanah Kubur Kampung Kubur Wajib, Mukim Bunut Susu, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 9.08 malam tadi, melaporkan berkenaan orang hilang dan segera ke lokasi kejadian untuk membantu mencari mangsa.

“Mangsa bagaimanapun ditemui orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk tujuan bedah siasat.

“Orang ramai diminta sentiasa peka dengan keadaan semasa ahli keluarga yang sudah berusia atau pun kanak-kanak bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini