Tumpuan :
Nasional

Warga emas jatuh sungai ditemui lemas

FOTO: JBPM

LUNDU: Seorang lelaki warga emas yang jatuh ke dalam sungai ketika mengemas bot di jeti Kampung Kelaoh, di sini, pada Rabu lalu, ditemui lemas pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Jokepli Hamidi, 60, ditemui penduduk kampung pada jarak anggaran 300 meter ke hilir sungai dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 8.27 pagi tadi.

“Mangsa kemudiannya dibawa menggunakan bot ke jeti Haji Mahyan oleh pasukan SAR (Pencarian dan Penyelamatan) dan dilakukan pengecaman oleh pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan penemuan itu, operasi SAR mangsa telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.10 pagi tadi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Batang Kayan ketika membersihkan botnya.

Seorang saksi yang berada di lokasi kejadian cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya disebabkan mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras.

“Menurut saksi, mangsa sempat meminta bantuan dan berusaha untuk berenang ke tebing sungai.

“Saksi yang telah menyiapkan botnya terus menuju ke arah mangsa untuk menghulurkan bantuan. Namun, mangsa telah hilang dihanyutkan arus deras,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini