KUCHING: Kru kapal tunda yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal di Kuala Rajang, Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah, Rabu lalu ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Mustafpa Abdullah@Moses Mleng, 65, ditemui terapung oleh nelayan di Kampung Sungai Murong, Kabong dalam Bahagian Betong, kira-kira jam 11.50 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar oleh anggota dari Balai Polis Kabong ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.
“Pada jam 2.40 petang, anggota bomba bergerak dari Terminal Maritim Tanjong Manis menaiki bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Pengarah Maritim Malaysia Tanjong Manis ke Hospital Sarikei untuk mengesahkan mayat yang ditemui itu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan media sosial oleh BH mendapati, seorang pengguna Facebook bernama Siti Johari mengesahkan mayat yang ditemui adalah bapanya yang hilang selepas terjatuh dari kapal di Kuala Rajang pada Rabu lalu.
Beliau juga memohon orang ramai yang membuat rakaman video atau gambar ketika mayat ditemui supaya tidak menyebarkannya di media sosial.
Rabu lalu, anak mangsa menghubungi bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis melaporkan bapanya jatuh dari kapal tunda Danum 126 di lokasi kira-kira lima batu nautika dari muara Tanjung Manis.
Kali terakhir dilihat, mangsa memakai seluar pendek berwarna hitam dan tidak berbaju.
Susulan laporan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) yang sertai Maritim Malaysia, JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.