comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga emas jadi mangsa ‘scammer’, kerugian lebih RM800 juta sejak 2021 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan atau ‘scammer’ dalam talian menjadikan warga emas sebagai sasaran berkualiti, dengan nilai kerugian dialami golongan itu akibat jenayah terbabit melebihi RM807.8 juta sejak 2021.

Nilai itu sebahagian daripada lebih RM3.59 bilion kerugian keseluruhan direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membabitkan jenayah penipuan dalam talian sepanjang tempoh sama.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata meskipun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas membabitkan kelompok kecil berbanding usia lain, namun nilai kerugian dialami golongan ini tinggi.

“Ini kerana sindiket penipuan dalam talian menjadikan mereka (warga emas) sebagai sasaran yang berkualiti untuk jenayah penipuan dalam talian,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod JSJK Bukit Aman, lebih RM2.678 bilion kerugian keseluruhan direkodkan akibat kes penipuan dalam talian bagi tempoh tiga tahun antara 2021 hingga 2023.

Daripada jumlah itu, 20 peratus membabitkan warga emas sebagai mangsa yang merekodkan kerugian lebih RM552.5 juta.

Untuk tahun ini pula, sejumlah 1,916 warga emas menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian antara Januari hingga Ogos dengan nilai kerugian terkumpul lebih RM255.3 juta.

Jumlah itu mewakili 27.9 peratus daripada kerugian lebih RM914 juta akibat jenayah sama direkodkan JSJK Bukit Aman untuk tempoh sama.

Ramli berkata, penting untuk memastikan informasi pencegahan jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian sampai kepada golongan warga emas.

Justeru, katanya PDRM memohon ahli keluarga menasihati ibu bapa, saudara atau kenalan agar sentiasa berwaspada dan tidak melayan atau mempercayai sebarang panggilan mencurigakan daripada mana-mana agensi kerajaan atau swasta.

“Tindakan mempercayai serta menuruti semua arahan diperoleh melalui telefon akan meletakkan mangsa dalam risiko disamun, dirompak apabila mereka mendedahkan alamat serta lokasi kediaman kepada penjenayah,” katanya.

Tambah Ramli lagi, bagi tujuan pengesahan, lakukanlah semakan semula dengan agensi terbabit dengan menghubungi mereka melalui nombor telefon yang diperoleh dari laman sesawang rasmi sesebuah agensi.

“Penipuan dalam talian adalah kategori jenayah komersil yang boleh dicegah serta dielakkan mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini