Oleh: Safwan Sawi
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Keguraan, di sini, semalam.
Mangsa, Rajim Kemad, 81, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak kembali ke rumahnya sehingga hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.
“Menurut pengadu (ahli keluarga) mangsa keluar rumah jam 8 pagi, semalam tanpa memaklumkan kepada keluarganya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jarak satu kilometer dari lokasi rumah mangsa,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
PGO berkata setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian masih giat dijalankan.
Operasi pencarian melibatkan seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.