Oleh Safwan Sawi
KUALA PENYU: Seorang lelaki warga emas usia 62 tahun ditemui lemas dipercayai ketika memukat di kawasan pesisir pantai Kampung Kiaru, Kuala Penyu, semalam.
Mayat Mohd Lin@Juslin ditemui pasukan bomba bersama penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari pesisir pantai berkenaan, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.49 malam semalam.
Menurut pemanggil, mangsa turun ke laut dengan menggunakan bot jam 6 petang untuk memukat dan mangsa didapati belum pulang ke rumahnya.
Maklumat daripada saksi pula memaklumkan, bot mangsa kelihatan di tengah laut dalam keadaan kosong.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu bersama penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun gagal menemui mangsa,” kata kenyataan itu hari ini.
Sebaik operasi SAR hari kedua dimulakan pagi tadi, baharu mangsa ditemukan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Susulan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada 10.30 pagi.