Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang, keluar rumah sejak seminggu lalu

FOTO: NSTP

 

KUALA PILAH: Seorang lelaki warga emas, Abu Zahrin A Hassan, 67, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, dekat sini, sejak 22 November lalu.

Anak sulungnya, Salmiah Abu Zahrin, 44, berkata sejak berpisah dengan ibu pada 1993, ayahnya mengalami tekanan perasaan dan berubah menjadi seorang yang pendiam.

“Bulan lalu, seorang adik saya meninggal dunia akibat sakit saraf. Kami maklumkan kepada ayah dan tidak pasti jika kejadian itu memberi kesan kepadanya.

“Ayah tinggal di rumah pusaka seorang diri, namun kami adik-beradik kerap menziarahinya,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, seluruh ahli keluarga sudah mencari ayahnya di sekitar kawasan kampung, termasuk di pekan Kuala Pilah, Seri Menanti, malah hingga ke Jelebu dan Seremban, namun belum berhasil menemuinya.

Sementara itu, adik bongsu warga emas berkenaan, Norliza, 53, berkata kehilangan abangnya itu disedari selepas beliau tidak datang ke rumahnya untuk makan malam seperti kebiasaannya.

Beliau berkata, abangnya yang juga anak ke lima daripada sembilan beradik tinggal bersebelahan rumahnya dan kebiasaannya akan datang ke rumahnya selepas Maghrib untuk makan malam.

Katanya, abangnya yang dikenali sebagai Abang Ujang tidak pernah hilang dari rumah dan beliau memang dikenali oleh penduduk kampung.

Lelaki warga emas, Abu Zahrin A Hassan, hilang selepas keluar rumah sejak seminggu lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi balai polis berdekatan atau hubungi Norliza di talian 0136555548 atau Salmiah di talian 0173123071.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, mengesahkan menerima laporan kehilangan dibuat ahli keluarga warga emas berkenaan dan polis sedang berusaha mengesannya.

Loading...
Terkini