Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia di Gua Beringin

Gerakan mencari dan menyelamat dijalankan bagi mencari seorang warga emas Kamardin Pin yang dipercayai hilang di dalam Gua Beringin, Chuping, Padang Besar sejak semalam. FOTO: Ihsan PDRM Perlis

KANGAR: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai pergi ke Gua Beringin, Chuping semalam, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, Kamardin Pin, 61, ditemukan di kawasan hutan kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya pada jam 12.03 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis mendapati kematian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan polis menerima laporan kehilangan Kamardin daripada isterinya pada 1.56 tengah hari semalam apabila wanita itu mendapati suaminya tidak pulang ke rumah setelah keluar kira-kira 8 pagi semalam untuk ke gua berkenaan.

Mohd Shokri dipetik sebagai berkata Kamardin yang bekerja kampung setelah berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah memandu di Pauh, Arau menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini