comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang ditemui maut

FOTO: NSTP

KUALA BERANG: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semalam selepas keluar ke kebunnya di Kampung Basung, dekat sini, ditemui maut dengan kesan lebam di seluruh badan dan hidung berdarah, hari ini.

Anak mangsa, Romisa Musa, 40, berkata, mayat bapanya, Musa Ahmad, 65, dijumpai kira-kira jam 7.30 pagi dalam semak yang dikatakan menjadi laluan gajah liar di kawasan bawah laluan kabel berhampiran kebun milik Allahyarham.

“Ayah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh adik ipar saya bersama penduduk kampung yang membantu usaha mencarinya. Ayah kemudian disahkan meninggal dunia dengan terdapat kesan lebam di seluruh badannya, selain hidung berdarah.

“Mayat arwah kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu (HHT), untuk bedah siasat,” katanya.

Romisa berkata, terdahulu Allahyarham dipercayai keluar ke kebun yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah, kira-kira jam 8 pagi semalam tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

Katanya, Allahyarham lazimnya berjalan ke kebun pada jam 8 pagi dan akan pulang ke rumah sekitar jam 4 atau 5 petang setiap hari.

Dalam kejadian semalam, dia memaklumkan bahawa ibunya, Fatimah Ibrahim, 55, keluar ke kenduri sebelum pulang kira-kira jam 11 pagi dan bertanyakan keberadaan Allahyarham.

“Namun apabila ayah tidak pulang untuk solat Jumaat, adik saya terus ke kebun untuk mencarinya tetapi tidak jumpa. Justeru selepas solat maghrib, operasi mencari ayah dijalankan bersama penduduk kampung hingga jam 12 tengah malam.

“Kami juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 9 malam tadi berhubung kehilangan ayah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong, ketika dihubungi BH meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu serta menunggu keputusan bedah siasat yang sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin, ketika dihubungi pula mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini