Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang, dikhuatiri dibaham buaya ketika pasang bubu

Pasukan SAR memulakan usaha pencarian warga emas dikhuatiri dibaham buaya.

LIMBANG: Lelaki warga emas yang mencari rotan dan memasang bubu di Sungai Limbang berhampiran kampungnya di Kampung Ulak dikhuatiri dibaham buaya di sungai berkenaan, semalam.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 8 pagi hari ini.

Usaha pencarian mangsa yang dikenali sebagai Sahari Mail, 66, dimulakan dengan usaha pencarian seawal jam 8.47 pagi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dengan bantuan penduduk kampung.

“Usaha SAR hari ini mensasarkan di kawasan sungai dengan jarak radius satu kilometer dari kawasan terakhir mangsa dikhuatiri hilang.

“Pencarian turut membabitkan kawasan tebingan sungai dan bukit-bukau berdekatan bagi mengesan keberadaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, setakat 5 petang, usaha pencarian masih gagal menemukan sebarang petanda atau petunjuk yang baharu.

Mangsa dikatakan keluar mencari rotan dan memasang bubu di sungai, namun tidak balik walau sudah gelap menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan polis hari ini.

Loading...
Terkini