Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang 2 minggu di hutan ketika berburu

Oleh : Safwan Sawi

RANAU: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang ketika keluar berburu di dalam hutan di Kampung Pahu Kaingaran, Ranau.

Mangsa dikenali sebagai Jurin Sahantoh, 62 tahun, dikatakan keluar ke hutan, 21 Julai lalu untuk memburu namun masih tidak pulang sehingga hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada jam 8.05 pagi semalam.

Dalam kenyataan bersama Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Hamsa Isnurdini dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, misi pencarian mangsa melibatkan pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam .

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lengkap dari ahli keluarga dan lokasi terakhir mangsa dilaporkan memasuki hutan pada 21 Julai 2023 bagi tujuan memburu,” kata kenyataan itu hari ini.

Walaupun radius pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam diperluaskan antara tiga hingga lima kilometer persegi, mangsa masih gagal ditemui.

Operasi SAR disambung semula jam 7 pagi ini.

Loading...
Terkini