KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah stor penyimpanan peralatan berkebun dekat Kampung Batition, di sini, petang tadi.
Mangsa, 75, ditemukan rentung sebaik api dipadamkan oleh orang kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 petang.
Susulan itu, katanya lapan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati sebuah stor penyimpanan peralatan berkebun jenis kekal terbakar 80 peratus. Terdapat seorang mangsa lelaki rentung di dalam stor.
“Kebakaran sudah dipadamkan oleh orang kampung menggunakan air baldi sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada operasi pemadaman dijalankan selain hanya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengangkat mangsa dan mengambil maklumat di lokasi.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.05 petang,” katanya.