Tumpuan :
Nasional

Warga emas ditemui meninggal dunia selepas hilang ketika ziarah pusara isteri

Allahyarham Mohd Sharip ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun sawit Jalan Maksah 2, Jeram, malam tadi. – Foto ihsan keluarga

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun sawit dekat Jalan Maksah 2, Jeram, malam tadi.

Mohd Sharip Basiron, 87, yang juga pesara tentera sebelum itu dilaporkan hilang sejak 3 Januari lalu ditemui oleh orang awam, jam 8.14 malam.

Menurut anaknya, Romainor Firdaus Mohd Sharip, 38, bapanya sering melawat kubur ibu pada setiap pagi Jumaat.

“Namun di sebelah petang ayah pergi sekali lagi ke perkuburan. Sejak itu dia gagal dikesan sehinggalah mayatnya ditemukan empat kilometer (km) dari rumah,” katanya.

Pada hari kehilangannya, kelibat lelaki warga emas terbabit berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang videonya kemudian tular di laman sosial.

Romainor berkata, bapanya seorang yang ceria dengan keluarga dan penduduk kampung walaupun menunjukkan gejala pelupa sejak beberapa bulan lalu.

“Sejak 27 tahun lalu, ayah mengabdikan diri menjaga ibu yang sakit sepenuh masa di rumah sehinggalah ibu meninggal dunia.

“Ayah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan pengambilan ubat.

“Sepatutnya 17 Januari ini dia ada temu janji doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga, Jeram, hari ini.

Tambah Romainor, walaupun sedih dan tidak sangka akan menemui Mohd Sharip yang sudah tidak bernyawa, dia dan keluarga reda dengan pemergian bapanya itu.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti mencari ayah sepanjang kehilangannya.

“Jenazah ayah disolatkan di Hospital Tanjong Karang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Tiga Jeram, jam 11.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah kurang daya ingatan.

Beliau berkata, lelaki warga emas itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri, namun beberapa keping wang kertas termasuk RM50, RM10 dan RM1 berterabur di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini