
KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam gaung di Kampung Tombongon, Manggatal, tengah hari tadi.
Mayat lelaki berusia 77 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bomba segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai sembilan anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dihantar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai bomba.
“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati seorang mangsa telah terjatuh ke dalam gaung dan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan tali untuk membawa naik mangsa dari gaung itu.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi telah membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mengesahkan dia telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat jam 4.50 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.