comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas ditemui lemas dalam bendang 

Mayat Husin Omar, 60, ditemukan dalam bendang padi oleh pemancing dipercayai terjatuh akibat diserang sawan di Kampung Pauh Sebanjar, di sini.- Foto: NSTP

TUMPAT: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas dalam bendang padi di Kampung Pauh Sebanjar, di sini.

Mayat Husin Omar, 60, ditemui sekumpulan pemancing bersama motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbalik akibat serangan sawan pada jam 2 petang tadi.

Abang mangsa, Harun Omar, 62, berkata, adiknya itu keluar dari rumah jam 12.30 tengah hari tadi untuk membeli petrol di stesen minyak berhampiran untuk stok bekalan pada musim banjir.

“Menjelang Zohor, dia masih belum kelihatan di rumah kerana selalunya sebaik azan berkumandang, dia akan bersiap sedia untuk menunaikan solat.

“Saya mengarahkan anak untuk mencarinya di kawasan sekitar kerana bimbang berlaku apa-apa kepadanya kerana sudah kerap dia terbalik motosikal kerana diserang sawan..tak sangka kali ini ajalnya tiba,” katanya ketika dihubungi.

Omar berkata, dia mengetahui perkara itu apabila dihebahkan dalam kumpulan Whatsapp mengenai adiknya yang terbalik motosikal dan sudah meninggal dunia sebelum dia bergegas ke lokasi kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong, di sini.

Katanya lagi, mereka sekeluarga sentiasa melarang mangsa keluar dengan menunggang motosikal atau ke mana-mana dalam jarak jauh kerana bimbangkan keselamatannya.

“Tapi apa yang kami takuti berlaku juga dan kami terima takdir ini dengan reda.

“Jenazah adik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bendang Pak Yong malam ini sebaik selesai semua urusan di Hospital Tumpat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu.

Loading...
Terkini