TAWAU: Usia hampir mencecah 70 tahun, namun masih aktif melakukan jenayah pecah masuk premis dan mencuri pelbagai peralatan serta harta benda sebelum dijual untuk mendapatkan wang.
Itu antara taktik atau modus operandi seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun selepas kegiatannya memecah masuk sebuah premis di pusat bandar di sini, terbongkar apabila dia ditahan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat pihak syarikat berhubung kehilangan pelbagai barangan yang disedari 10 Disember lalu.
“Menurut pengadu, antara barangan yang hilang termasuk televisyen, meja, kerusi, peralatan gym dan laci dianggarkan bernilai ribuan ringgit.
“Suspek dipercayai memasuki premis tanpa kebenaran sebelum melarikan barangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian, kira-kira jam 3.35 petang.
“Beberapa barangan yang dicuri ditemui semula ketika serbuan.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak seorang diri dan dipercayai menggunakan barangan itu untuk kegunaan peribadi selain dijual. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.