comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Warga emas dikhuatiri lemas, tergelincir di dalam Sungai Pengkalan

Pasukan JBPM melakukan SAR di sungai Pengkalan, Alor Gajah. – FOTO: JBPM Melaka

ALOR GAJAH: Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mangsa dikenali sebagai Mokhtar Othman, 61, dikatakan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Machap kira-kira jam 1.50 pagi.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.39 pagi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera.

“Susulan itu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 12 anggota ke lokasi kejadian, namun mangsa dikatakan tiada sejurus pintu tandas berjaya dibuka pasukan penyelamat.

“Kami hanya menemui kenderaan mangsa di lokasi berkenaan selain sepasang selipar di tebing sungai dipercayai milik lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan JBPM melakukan SAR di sungai Pengkalan, Alor Gajah. – FOTO: JBPM Melaka

Mengulas lanjut, Zulkhairani berkata siasatan awal menerusi rakaman kamera papan pemuka daripada kereta mangsa mendapati dia hanya mundar-mandir dan tidak masuk ke dalam tandas kerana berkunci.

Beliau berkata berikutan itu, JBPM Melaka mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan dan di dalam air bagi mengesan mangsa.

“Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini