Oleh: Safwan Sawi
KOTA MARUDU: Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Tambilidon, Pitas, semalam.
Adau Tangas, 83 tahun, dikatakan ke kebun berkenaan pagi semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi.
Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Marcelius Junus
digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian dibahagikan kepada tiga sektor dan setiap sektor berkeluasan kira-kira empat hektar.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini dijalankan di sektor pertama yang dibantu oleh penduduk kampung,” menurut satu kenyataan hari ini.
SAR ditangguhkan pada jam 5 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa