LAWAS: Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan arus deras banjir di Jalan Sungai Sepakoi malam tadi, ditemukan mati lemas awal hari ini.
Silas Sudai, 63, ditemui petugas yang melakukan kerja pembersihan jalan raya di kawasan tebingan berbatu antara Kuala Sungai Sepakoi dan Sungai Long Tengoa pada jam 7 pagi.
“Mangsa dijumpai tiga kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat sebelum dihanyutkan arus deras,” kata jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Lawas bergegas ke lokasi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 10.10 pagi untuk tindakan lanjut.
Mangsa dilaporkan hilang oleh rakannya kira-kira jam 11.30 malam tadi, ketika dikatakan cuba memeriksa paras banjir yang menenggelamkan jalan menghubungkan Lawas ke Long Sukong. – BERNAMA