PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan semua pihak tidak menjadikan video seorang warga emas mendakwa Umno kafir sebagai modal politik.
Katanya, beliau difahamkan wanita itu sudah nyanyuk dan keluarganya turut meminta video tular terbabit dipadamkan.
Beliau berkata, jika dakwaan itu dibuat pemimpin PAS berjawatan, ia akan menjadi isu besar, tetapi disebabkan ia dikeluarkan warga emas, maka ia bukannya isu.
“Tidak sepatutnya kita ambil kesempatan. Orang PAS ni ada satu juta lebih…takkan kita nak ambil satu kenyataan dan orang ini (warga emas) tiada apa-apa jawatan.
“Macam mana kalau saya kata orang Umno merompak, orang Umno tak betullah…jangan terlalu kita ni murah menggunakan isu murahan untuk berpolitik,” katanya lapor Sinar Harian.
Amar berkata demikian sebagai menjelaskan isu seorang warga emas yang merupakan penyokong parti Pas dipercayai mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Video tular di media sosial itu menunjukkan kehadiran seorang wanita menemui pengundi ketika berkempen bagi calon Barisan Nasional tidak disambut baik penduduk setempat.
Dalam video berkenaan, seorang wanita warga emas memberitahu dia tidak mahu mengundi Umno kerana “akan kafir sampai kiamat”.