comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas antara tiga pemandu mabuk ditahan dalam sekatan jalan raya

Anggota polis trafik sedang melakukan ujian pernafasan menggunakan alat EBA II ke atas seorang daripada tiga lelaki yang ditahan dalam Operasi Mabuk Polis Daerah Ampang Jaya, kelmarin. – Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas antara tiga yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk di Jalan Pandan Utama dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata ketiga-tiga mereka ditahan dalam sekatan jalan raya bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam yang dijalankan di lokasi terbabit.

“Tiga lelaki, masing-masing berusia 41, 56 dan 69 tahun ditahan kerana disyaki memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987.

“Ketiga-tiga lelaki itu bersama kenderaan masing-masing kemudian dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Ampang Jaya untuk ujian pernafasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) yang dijalankan mendapati paras alkohol dalam tubuh mereka melebihi paras dibenarkan.

Katanya, individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000.

“Selain itu, lesen memandu mereka akan digantung untuk tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Mohd Azam berkata, pada operasi sama sebanyak 55 kenderaan dan 70 individu diperiksa dengan 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Loading...
Terkini