![](https://media.buletintv3.my/2023/08/VAI1OAfF-BULETIN-TV3-46.jpg)
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan jumlah keseluruhan penduduk yang bekerja di negara ini adalah seramai 16,779,500 orang sehingga 31 Disember tahun lalu.
Menterinya, Steven Sim berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,368,422 orang atau 14 peratus adalah pekerja asing.
“Peratusan ini menunjukkan keberadaan pekerja asing dalam negara adalah terkawal kerana masih berada di bawah had siling ditetapkan oleh kerajaan iaitu pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk bekerja negara.
“Peratusan terbesar pekerja asing terdiri daripada pekerja warga Bangladesh yang mewakili 37.96 peratus (898,970 orang) daripada keseluruhan pekerja asing di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kadar peratusan dan jumlah lambakan pekerja asing di Malaysia.
Steven berkata, ia diikuti oleh pekerja warga Indonesia sebanyak 24.58 peratus (582,108 orang) dan pekerja warga Nepal 15.63 peratus (370,127 orang).
Katanya, sejak 18 Mac 2023, kerajaan membuat keputusan untuk membekukan kuota pengambilan pekerja asing baharu sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.