comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga Bangladesh ceroboh pangsapuri, ditangkap


PUTRAJAYA: Tiga warga Bangladesh yang menceroboh sebuah pangsapuri di Puchong dekat sini, ditahan semalam.

Menurut Ketua Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof penahanan itu selepas pemilik rumah membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, Kemaman, Terengganu jam 3.20 petang semalam.

Difahamkan pemilik rumah mengetahui mengenai kejadian selepas disiarkan melalui media.

Katanya, penahanan tiga warga Bangladesh berusia 23 hingga 30 tahun itu dibuat pada jam 9 malam di rumah itu.

“Warga Bangladesh itu mengaku menduduki rumah itu sejak dua bulan lalu dengan merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baharu.
“Tiga warga Bangladesh yang ditahan itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati rumah kenalannya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu diceroboh dan didiami warga asing.

Lelaki terbabit yang memuat naik kisah itu menerusi akaun Facebook miliknya, Srilabu Kedah berkata, kejadian itu diketahui selepas kenalannya yang tinggal di Pantai Timur itu meminta dia menjualkan rumah jenis pangsapuri berkenaan.

Selepas menerima kunci rumah itu, beliau yang tinggal di Seremban 2 datang meninjau rumah berkenaan untuk mengetahui keadaannya sebelum urusan penjualan dilakukan.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati rumah itu didiami warga asing dan perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik rumah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini