Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PETALING JAYA: Lelaki warga asing yang dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sehingga mendatangkan bahaya sekaligus mengakibatkan kemalangan jalan raya di Bandar Sungai Long, Kajang yang tular baru-baru ini ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, suspek berusia 32 tahun yang juga bekerja sebagai tukang cuci itu ditahan di sekitar Bandar Sungai Long, jam 6 petang tadi.
Pihaknya sebelum ini telah mengesan satu video tular berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki melintas jalan lalu melompat ke arah kenderaan yang bergerak sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.53 pagi, Selasa lalu.
“Lelaki berbaju merah dan berseluar hitam dipercayai bukan warga negara telah meninggalkan tempat kejadian dengan kecederaan ringan. Tiada sebarang butiran atau pengenalan diri diperoleh.
“Motif masih dalam siasatan. Hasil ujian air kencing negatif dadah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.